A Kadir JasinADAKAH pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok di Selangor akan memperkukuhkan aliran ini?
Kita telah melihat di Batu Talam, Pahang dan Machap, Melaka penambahan peratusan undi rosak yang sedikit sebanyak mempamerkan unsur protes atau tunjuk perasaan.
Sejak beberapa waktu kebelakangan ini, banyak pembahas dalam blog kita ini bertanya mengenai kuasa rakyat jelata menentukan hala tuju negara, khususnya peranan mereka dalam pilihan raya.
Soalan mereka banyak menjurus kepada ketidakpuasan terhadap pemerintahan negara pasca-Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sebagai tidak menepati keperluan dan aspirasi mereka serta menyimpang daripada janji pilihan raya umum 2004.
Tiada ada jawapan atau petunjuk mutakhir kepada persoalan ini. Demokrasi dan pilihan raya bukanlah penawar bagi semua penyakit pemerintahan.Kalau pilihan raya menghasilkan pemerintahan yang unggul dan menepati kehendak setiap pengundi, maka masanya sudah lama tiba apabila pilihan raya tidak diperlukan lagi kerana sudah wujud sebuah kerajaan yang unggul.Hakikatnya berlainan sekali.
Pilihan raya tidak menghasilkan pemerintahan yang unggul. Malah ia boleh menghasilkan pemerintahan yang lebih buruk daripada pemerintahan penjajah, diktator atau feudal atau, setidak-tidaknya, lebih buruk daripada kerajaan sebelumnya.Namun, oleh sebab Perlembagaan memberikan kita hak mutlak untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya dan bukan melalui rampasan kuasa atau revolusi maka itulah jalan yang terbaik bagi kita menentukan siapa yang kita mahu memerintah kita.
Kita harus sedar bahawa akan perbezaan yang sangat besar dan ketara antara memerintah dengan memimpin. Semua orang yang kita pilih dalam pilihan raya diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk memerintah. Tetapi tidak semua daripada mereka boleh atau tahu memimpin.
Seorang Perdana Menteri, Presiden atau Canselor boleh memerintahkan supaya parit digali. Tetapi ini tidak bermakna dia boleh memimpin para penggali parit kerana dia bukan pakar mengenai cara menggali parit.Tetapi ada Perdana Menteri, Presiden atau Canselor yang bukan sahaja boleh mengarahkan orang menghasilkan kereta tetapi boleh memimpin kerana dia tahu selok-belok industri automotif.
Selain pilihan raya, kita tiada pilihan lain untuk menentukan siapa memerintah negara. Justeru itu, adalah amat penting kita mendaftar sebagai pemilih sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun dan mengundi pada pilihan raya.
Kedua, kita pastikan di mana tempat mengundi kita. Sekarang kita boleh memeriksa daftar pemilih dan tempat mengundi melalui
laman web Suruhanjaya Pilihan Raya.
Ketiga kita pangkah calon pilihan kita. Itu saja.Bagaimanapun, sudah ternampak wujudnya satu aliran atau trend di mana pemilih sengaja merosakkan kertas undi sebagai cara memprotes.
Cara ini dianggap lebih berkesan untuk menunjukkan ketidakpuasan terhadap parti pemerintah berbanding tidak keluar mengundi atau memulaukan pilihan raya.Alasannya ialah kalau seseorang pemilih tidak keluar mengundi, sebab dia berbuat demikian mungkin boleh dipertikaikan. Misalnya mungkin kerana dia sakit, berada di luar kawasan mengundi atau keciciran pengangkutan.
Tetapi dengan merosakkan undi, pemilih menghantar mesej yang jelas iaitu manakala mereka tidak mengundi pembangkang kerana dia bukan ahli atau penyokong parti pembangkang, tetapi mereka juga tidak mengundi parti kerajaan kerana dia tidak puas hati dengan kerajaan.Kita sudah boleh membayangkan bahawa pada pilihan raya akan datang, kemungkinan-kemungkinan berikut akan berlaku:
1. Pengundi baru akan mendaftar kerana mereka mahu mengubah keadaan;
2. Mereka tidak akan mendaftar kerana mereka tidak peduli politik negara atau kerana tidak yakin undi mereka akan mengubah apa-apa;
3. Banyak pemilih berdaftar tidak keluar mengundi kerana mereka tidak lagi menyokong parti kerajaan tetapi tidak berhasrat berpaling tadah kepada pembangkang; dan
4. Pemilih akan merosakkan kertas undi sebagai tanda protes terhadap parti dan calon yang bertanding, khasnya parti dan calon parti pemerintah.
Dalam pilihan raya kecil DUN Batu Talam pada 28 Januari lalu, 3,445 daripada 10,525 pemilih berdaftar tidak keluar mengundi. Daripada 7,080 yang mengundi, undi rosak berjumlah 385.Pada pilihan raya umum 2004, sejumlah 8,322 pemilih keluar mengundi tetapi undi rosak hanya 238. Jelas daripada perangkaan ini bahawa berlaku protes di kalangan pemilih pada pilihan raya kecil Januari lalu.
Dalam pilihan raya kecil Machap pula, kita melihat bilangan pemilih yang keluar mengundi agak tinggi iaitu 74.35 peratus. Ini adalah kerana BN dicabar secara serius oleh pembangkang yang diwakili oleh DAP. Justeru itu tidak berlaku pemboikotan yang ketara.Bilangan undi rosak pun rendah – 166 – daripada 7,142 kertas undi. Ini menunjukkan bahawa unsur protes tidak ketara kerana pemilih diberi peluang memilih calon dari dua parti politik Cina yang utama iaitu MCA dan DAP.
Komposisi pemilih DUN Machap yang pelbagai -- 39.3% Melayu, 45.9% Cina dan 14% India – turut mempengaruhi bilangan yang keluar mengundi dan corak pengundian.Yang menarik ialah walaupun BN menggunakan segala kekuatan yang ada kepadanya – tenaga manusia, kewangan dan jentera rasmi – namun DAP masih mampu mendapat undi yang lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 2004.Calonnya, Liou Chen Kuang mendapat 1,452 undi berbanding calon BN, Lai Meng Chong, yang memperoleh 5,533 undi. Ini memberikan BN kelebihan undi yang lebih rendah sebanyak 4,081 berbanding 4,562 pada pilihan raya umum 2004.
Daripada aliran pengundian dalam dua pilihan raya kecil kini, kita boleh membuat kesimpulan rambang bahawa selera dan pendekatan pemilih mungkin mengalami perubahan yang ketara pada pilihan raya umum akan datang.Manakala kekuatan BN di segi tenaga manusia, kewangan dan keupayaannya menggula-gulakan pengundi tepat tidak tercabar, namun usaha mempengaruhi pengundi mungkin lebih sukar kerana ia tidak dapat memberi tumpuan seperti dalam pilihan raya kecil.
Trend di mana seorang Perdana Menteri baru memperoleh mandat besar pada pilihan raya umum pertamanya tetapi diikuti oleh kemerosotan sokongan pada pilihan raya umum berikutnya besar kemungkinan berterusan.Adalah sukar bagi pemerintahan sekarang mengulangi kejayaan cemerlangnya pada pilihan raya umum 2004.
Soalnya ialah sama ada pemilih bersedia untuk menghantar mesej yang jelas kepada BN mengenai ketidakpuasan hati mereka.