PERHIMPUNAN BERSIH WAJAR
Doi-Moi sebenarnya tidak faham, kenapa Kerajaan pimpinan Pa-Lah gelabah sangat apabila gabungan parti-parti politik dan NGO’s mengadakan perarakan berjalan kaki ke Istana negara untuk menyerahkan memorandum.
Media-media yang dikuasai oleh Kerajaan menjalankan propaganda untuk meyakinkan rakyat bahawa perarakan itu adalah haram kerana PDRM tidak meluluskan permit untuk berhimpun, oleh yang demikian adalah wajar tindakan Polis untuk menyuraikan peserta. UMNO tidak wajar berselindung didalam seluar polis untuk menghalang satu perhimpunan yang diadakan dengan niat yang baik untuk melihat pilihanraya negara diadakan secara adil dan telus.
Jentera propaganda Kerajaan tidak berkeupayaan untuk membincangkan secara terperinci malah tidak disentuh langsung akan kandungan memorandum tersebut. Dimanakah kewajarannya apabila kandungan memorandum tidak disentuh tetapi propaganda untuk meyakinkan rakyat akan perhimpunan yang haram dijalankan secara meluas. Pihak-pihak yang terlibat dalam memesongkan akan kandungan memorandum tersebut harus kembali ke sekolah kerana rakyat tidak boleh terus diperbodohkan.
Dalam memorandum tersebut terdapat sembilan (9) cadangan. Satu contoh yang ingin Doi-Moi kupaskan ialah cadangan “f” iaitu Kerajaan Sementara atau Caretaker. Dalam cadangan tersebut “BERSIH” telah mencadangkan iaitu Kerajaan Sementara hendaklah dilarang untuk membuat sebarang polisi atau keputusan yang berkaitan dengan pembangunan bilamana Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri telah dibubarkan. Selain itu, penyalahgunaan sumber dan jentera Kerajaan bagi tujuan memenangi pilihanraya hendaklah ditafsirkan sebagai satu kesalahan jenayah dan penyediaan dan penyemakan daftar pemilih hendaklah dibuat secara telus dan semakan kehakiman boleh dilaksanakan.
Seorang warganegara yang waras, akan bersetuju dengan cadangan-cadangan BERSIH kerana menjadi amalan bagi parti BN untuk menyalahgunakan segala kemudahan yang sediada untuk memenangi pilihanraya samada awam atau pilihanraya kecil. Satu contoh yang sangat jelas adalah pilihanraya kecil Ijok di mana berjuta-juta Ringgit Malaysia telah di gunakan dalam bentuk pembangunan dan wang tunai untuk membeli undi. Mendiang Sivalingan telah gagal untuk berkhidmat kepada rakyat tempatan tetapi apabila beliau meninggal dunia, penduduk tempatan sendiri terkejut besar dengan pembangunan yang dibawa dalam tempoh masa yang singkat sehingga penduduk di kawasan-kawasan lain terpaksa mengusik Y.B. wakil BN, akan keperluan mereka mengadakan sembahyang hajat supaya wakil mereka cepat mati untuk menerima pembangunan sekelip mata.
Doi-Moi juga percaya sebagai pemegang amanah Kerajaan Sementara, BN tidak layak untuk menggunakan kedudukan sementara tersebut untuk menabur janji. Ini adalah amalan di negara-negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi. Misalnya negara demokrasi terbesar di dunia iaitu India dengan tegas melarang sebarang bentuk pembangunan samada dalam bentuk perjanjian atau pembangunan fizikal selepas pembubaran parlimen. Sekiranya didapati bersalah, calon tersebut akan dibatalkan penyertaannya. Malah badan yang diberikan tanggungjawab untuk menjalankan pilihanraya turut diberikan kuasa mendakwa parti-parti yang melanggar peraturaan pilihanraya. Tetapi dalam konteks demokrasi Malaysia, semuanya dibolehkan selagi yang mengamalkannya adalah BN. Pemuda UMNO boleh menjerit dan melompat-lompat seperti beruk yang terkena cili padi tetapi kalau parti-parti lain yang berhimpun dengan niat yang baik, seluruh media Kerajaan akan diguna untuk memburukkan keadaan sebenar.
Dalam konteks ini, perhimpunan BERSIH sebenarnya adalah wajar diadakan kerana rakyat sudah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengadu terus kepada YDPA. Kalau aduan tidak boleh dibuat terus kepada YDPA, apa lagi harapan yang kita ada? Janji pilihanraya 2004 untuk membina sebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi hanya tinggal janji manis terutama bila individu yang menaburkan janji tidak mempunyai keupayaan politik untuk membawa perubahan. Semoga semangat kuning ini mampu bertahan sehingga pilihanraya umum dan dapat ditransformasikan dalam bentuk undi.