Friday, May 11, 2007

Tahniah dan Syabas



Doi-Moi ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana telah berjaya merobohkan sebuah keluarga bahagia yang telah dibina selama 21 tahun. Keluarga tersebut telah hidup aman damai sehinggalah JAIS menyerbu dan menculik isteri dan 5 orang anak pasangan Marimuthu dan Raimah. JAIS telah memaksa si isteri untuk menandatangani afidavit dan mengaku beliau keluar dari rumah secara suka rela dan bukannya secara paksaan.

Ibu mana yang rela berpisah dengan cahaya mata dan suaminya tetapi dalam kes penculikan ini, si ibu terpaksa melepaskan anak-anaknya kepada si suami dengan harapan si suami akan
terus membesarkan kelima-lima anak itu mengikut ajaran agama Hindu. Kalau betul si isteri keluar dari rumah dengan rela hati, sudah tentu dia akan mempertahankan haknya untuk mendapatkan hak penjagaan anak dari segi undang-undang tetapi dalam kes ini perkara itu tidak berlaku. Bukankah itu satu tanda yang jelas, si isteri masih sayangkan suami dan anak-anaknya. Begitu juga kalau betul si isteri keluar dengan rela hati tanpa paksaan JAIS, apakah kedua-dua suami-isteri akan melepaskan air mata ke bumi sebagai tanda kasih sayang mereka.


Kini perkahwinan mereka tergantung begitu sahaja, tiada noktah. Doi-Moi yakin pihak JAIS telah menggunakan kaedah psikologi dan mengancam untuk mendakwa si isteri atas dakwaan "berzina sehingga melahirkan anak" sekiranya si-isteri enggan bekerjasama. Kalau berdasarkan pemahaman cendikiawan-cendikiawan JAIS adalah amat jelas mereka telah berzina sehingga melahirkan anak. Apakah JAIS akan mendakwa si isteri?


Doi-Moi ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas kemampuan Menteri dan Timbalan Menteri menanggani masalah tersebut secara cekap dan telah berjaya menjadi penonton terbaik semasa JAIS sedang berusaha keras untuk mempercepatkan usaha merobohkan istana yang telah dibina hasil usaha selama 21 tahun. Agaknya ini yang dikatakan sebagai usaha membina Keluarga Penyayang.


Kalau Doi-Moi berkuasa memberikan sebarang anugerah maka akan dianugerahkan hadiah terbaik dan pakar dalam merobohkan rumahtangga orang kepada JAIS dan anugerah terbaik dalam bidang ketidakmampuan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tidak terlupa juga anugerah khas pakar psikologi bunuh diri kepada Timbalan Menterinya yang menjadi Timbalan Presiden kepada sebuah parti. Sekali lagi Tahniah dan Syabas.




Satu-satunya pilihan yang kita ada untuk memperbetulkan ketidakadilan ini adalah melalui pilihanraya. Sudahkah anda mendaftar sebagai pengundi?

Wednesday, May 09, 2007