Pilihanraya Kecil adalah satu ruang yang paling strategik untuk rakyat/pengundi menyampaikan perasaan tidak puas hati kepada parti yang membentuk Kerajaan. Tindakan-tindakan yang mengancam hak-hak asasi seperti merobohkan tempat-tempat beribadat dengan cara yang sangat mendukacitakan hendaklah di protes secara berdisplin melalui peti undi. Cara ini adalah lebih profesional berbanding dengan penggunaan C4 untuk melenyapkan sesuatu isu. Malah sebarang usaha untuk menggunakan keganasan untuk mencapai sesuatu niat haruslah ditentang tetapi menunjukkan protes melalui peti undi hendaklah digalakkan. Ini yang dikatakan pembangunan modal insan. Kata-kata kononnya pilihanraya kecil bukanlah tempat untuk menunjukkan protes adalah kata-kata manis untuk mendapatkan undi sahaja. Lidah-lidah yang sama akan berkata, pilihanraya umum bukanlah tempat untuk menunjukkan protes kerana ia melibatkan masa depan negara. Bermakna akan sentiasa ada kata-kata yang manis dan menghalang rakyat untuk menunjukkan ketidakpuasaan hati dengan tindakan parti-parti yang membentuk Kerajaan. Hidup rakyat semakin tertekan dengan tindakan-tindakan tidak bijak dan ruang untuk menunjukkan protes semakin tertutup kecuali pilihanraya. Gunakan hak anda untuk memberikan mesej yang jelas kepada mereka yang menggunakan kuasa untuk menekan rakyat. Kembalikan sistem demokrasi dan kebebasan bersuara melalui peti undi.
No comments:
Post a Comment