Friday, September 22, 2006

Kelemahan dan kekuatan Mahathir
Posted on Friday, September 22 @ 00:00:00 EDT
Topic: RENCANA

Oleh Datuk Zainuddin Maidin (ZAM)


PERKEMBANGAN terakhir Malaysia menampakkan keyakinan dan keupayaan negara meredah gelombang ekonomi, tetapi kegawatan politik terus memberikan cabaran yang menggugat kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad sekalipun proses demokrasi telah memutlakkan penerusan kepimpinannya.


Ini adalah harga paling mahal yang terpaksa dibayar kepada kesilapannya membawa masuk ke dalam UMNO anasir-anasir revolusioner yang tidak menjiwai dan menghayati jati diri UMNO.




Apa yang gagal untuk dilakukan oleh komunis sebelumnya telah berjaya dilakukan oleh anasir ini menerusi penerapan yang berasaskan perjuangan Islam yang fundamentalis, ekstremis dan ideologikal yang tidak sahaja berjaya mengelirukan dan mengaburkan pandangan dunia terhadap Dr. Mahathir yang sebenar tetapi juga terhadap institusi tradisi yang telah dibangunkan oleh UMNO sejak lebih 50 tahun dahulu.


Pandangan dunia dan dalam negara yang begitu tinggi terhadap Dr. Mahathir telah berubah dalam sekelip mata hanya kerana mata lebam.


Sebenarnya Dr. Mahathir bukan antiglobalisasi atau antikapitalisme. Malah, universialisme dan globalisme yang menyebabkan dia disalahmengertikan oleh anak bangsanya.


Beliau tidak berganjak daripada asas pembangunan politik, sosial dan ekonomi yang diletakkan oleh Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman iaitu pasaran bebas, liberal demokrasi dan konsep hidup bersama antara kaum (masyarakat majmuk). Bagaimanapun, beliau menyimpang daripada perdana-perdana menteri terdahulu dalam pendekatan dan stail.


Tidak seorang pun Perdana Menteri Malaysia sebelumnya yang pernah menentang ketidakadilan dalam sistem kapitalisme, nilai negatif Barat dan orthodoxy agama secara terbuka, berani, sistematik, combative dan efektif sehingga menggemparkan dunia di samping meningkatkan maruah negara.


Dalam beberapa hal, Dr. Mahathir terlihat berkongsi nilai Asia dengan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew terutamanya dalam penapisan nilai demokrasi Barat ke negara masing-masing tetapi Dr. Mahathir tidak apologetik dan kelihatan lebih berani dalam menangani manipulasi kapitalisme dan neokolonialisme Barat.


Lee Kuan Yew sekalipun terlihat sebagai autoritarian tetapi mendapat kemaafan barat kerana berkompromi dengan kepentingan keselamatan dan ekonomi Barat.


Dr. Mahathir mahu membawa Malaysia ke arah kemerdekaan penuh yang lepas bebas daripada telunjuk Barat. Dr. Mahathir juga tidak terlihat sebagai sebati dan selesa dengan budaya Inggeris seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Lee Kuan Yew sekalipun kesemua mereka adalah berpendidikan kolonial Inggeris.


Ini mungkin kerana selain daripada beliau menuntut dalam disiplin akademik yang berlainan, juga mungkin kerana beliau tidak pernah belajar di United Kingdom dan tidak pernah dipengaruhi oleh suasana kehidupan liberalisme Barat dan gaya hidup orang Inggeris.


Selain daripada itu pengaulannya dengan golongan agama, ulama, ustaz, pak lebai dan sebagainya di Kedah ketika usia mudanya dan ketika dalam perjuangan kemerdekaan di Kedah telah menyuburkan lagi nasionalisme dan radikalisme yang memang telah wujud dalam dirinya yang menyebabkan pejuang-pejuang kiri dan ultra-nasionalis ada kala melihat beliau sebagai salah seorang daripada mereka. Beliau pernah disifatkan oleh Lee Kuan Yew sebagai Malay Ultra.


Ini terpancar daripada penentangan Dr. Mahathir terhadap beberapa dasar awal negara dan cara hidup Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Abdul Razak.


Bila menjadi Perdana Menteri, beliau mengambil langkah mengharamkan arak di majlis-majlis rasmi kerajaan dan juga di kem-kem tentera dan mes polis.


Beliau melenting terhadap pemikiran kolonial dan sisa-sisa penjajahan, sensitif terhadap tindakan atau kata-kata Barat yang menghina bangsanya atau orang Asia.


Dari awal pemerintahannya, beliau telah menggemparkan negara dan mengejutkan British dengan mengambil balik tanah Carcosa seluas 7.2 ekar di kawasan tertinggi di Kuala Lumpur yang dihadiahkan kepada British, melakukan serangan waktu pagi di London Stock Exchange menerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 7 September 1981 yang mengembalikan kuasa milik ladang-ladang getah Guthrie kepada Malaysia dan memperkenalkan dasar Buy British Last.


Serangan George Soros dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang serentak dan secara kolektif untuk membantut dan membendung kebangkitan ekonomi Asia supaya mengikut acuan ekonomi Barat pada Julai 1997 telah digagalkan oleh Dr. Mahathir sekalipun mereka telah berjaya di Korea Selatan, Indonesia, Filipina dan Thailand. Serangan ini terancang dan menarik iaitu satu tangan meruntuhkan dan satu tangan lagi menghulurkan bantuan.


Gagasan EECnya (East asian Economic Caucus) dilihat sebagai percubaannya untuk reasianisation setelah ideologi Asianisme Jepun gagal menerusi perang di pertengahan abad ke-19.


Jepun mulanya menganggap gagasan ini sebagai ``Tashinamu'' a devotion to a course with little likehood of recognition or success, tetapi konsep ini kemudiannya mendapat perhatian dan penerimaan kalangan perniagaan dan politik Jepun.


Dr. Mahathir dalam kenyataannya di Sidang Kemuncak Serantau Asia Kyuhsu di Tokyo pada bulan Oktober 1994 secara terbuka mengkritik sikap kerajaan Jepun itu.


``Malaysia kecewa dan sedih kerana satu-satunya negara Asia yang mempunyai keupayaan untuk menolong negara jirannya telah menolak untuk berbuat demikian,'' katanya.


Yoshihide Soeya dari Universiti Keio Jepun yang pernah berkhidmat dengan The East West Center Honolulu dalam tulisannya dalam majalah Look Japan keluaran Mac 1995 menyifatkan gagasan Dr. Mahathir itu sebagai ``suara reaksi identiti Asia dan nilai Asia terhadap apa yang dilihat oleh kebanyakan orang Asia sebagai serangan Amerika Syarikat terhadap ekonomi dan nilai-nilai Asia.''


Tetapi yang paling mengecewakan Barat ialah apabila kelicinan kemaraan strategi globalisasi Barat untuk menawan Asia Timur dengan soft power telah terbantut di Malaysia setelah berjaya di Korea Selatan, Indonesia, Filipina dan Thailand.


Malaysia yang mempunyai asas ekonomi yang kuat dan Perdana Menteri yang ``kancil'' telah membina tembok yang menggemparkan dunia, yang di luar dugaan pemerintah-pemerintah ekonomi dunia.


Dr. Mahathir telah memagar ekonomi Malaysia dengan kawalan modal dan penetapan kadar tukaran asing kepada mata wang Amerika Syarikat.


George Soros yang terkejut terus memanggil Dr. Mahathir ``A menace to his own country'' (seorang yang menjadi ancaman kepada negaranya sendiri). Dr. Mahathir membalasnya dengan memanggil Soros ``penyangak.''


Setahun kemudian setelah tindakan ekonomi Dr. Mahathir itu menampakkan kesan, kehadiran beliau pada Persidangan Tokoh-tokoh Kewangan Dunia di Davos, Switzerland dilihat sebagai hendak membalas dendam atau menuntut bela.


International Herald Tribune pada 2 Februari 1999 menyiarkan tulisan David E. Sanger dari New York Times mengenai persidangan Davos itu di bawah tajuk ``Amid Capitalists, Malaysia's Cadfly seeks Vindication'' (Penyengat Malaysia menuntut bela di tengah-tengah kapitalis).


Katanya, ``The world's financial Commanders have had no greater nemises in recent years than Prime Minister Dr. Mahathir Mohamad of Malaysia, who has banned the trading of his country's currency, denounced US economic imperialism and jailed his Finance Minister for daring to challenge his economic prescriptions and his iron-handed rule.


``Now, Mr. Dr. Mahathir's favourite hobbyhorse-controlling capitalism's excesses, keeping small countries from being washed out to sea by the ebb and flow of billions of dollars - is the subtext of half of the seminars here in Davos.


``While almost no one has endorsed the Malaysian solution of declares a country's currency valueless outside its border, the 73 year old Prime Minister has come to seek vindication and to delight in the fact that the International Monetary Fund and the US Treasury fear that others could follow in his footsteps.''


Dr. Mahathir menyindir terhadap reaksi Amerika ini dengan berkata, ``Amerika Syarikat mestilah toleran terhadap kebodohan Malaysia ini, kenapa tidak biarkan kami bersendirian melakukan perkara yang salah yang kami mahu lakukan. Apa ertinya bercakap tentang kebebasan dan kemerdekaan jika awak mengatakan `saya mempunyai kuasa untuk menyekat awak dan saya akan sekat awak.'''


The Economist dalam rencana pengarangnya keluaran 4 Disember 1999 menyifatkan Dr. Mahathir sebagai pembinasa globalisasi.


Majalah ini tidak sedar bahawa ketika serangan ekonomi terhadap Asia Timur, perpaduan ASEAN goyang, anggota-anggotanya mahu menyelamatkan diri masing-masing, Filipina dan Thailand condong kepada desakan Amerika supaya dihapuskan dasar ASEAN tidak campur tangan antara negara dan Singapura mahu membunuh Malaysia dengan menawarkan faedah tabungan yang tinggi hingga lebih 40 peratus - suatu insentif yang tidak logik.


Tetapi bila kita terselamat atau berjaya menyelamatkan diri daripada kerapuhan solidariti ASEAN dalam kegentingan krisis, maka kita dilihat sebagai mementingkan diri sendiri.


Bagaimanapun, terdapat juga beberapa orang pengkaji Barat yang mahu melihat Dr. Mahathir secara rasional dan mengaku kepintarannya. Umpamanya Michael Leifer, Pengarah Asia Research Centre, London School of Economics dalam tulisannya dalam International Herald Tribune pada 29 Mac 2000 yang berkata, ``Dr. Mahathir tidak pernah menjadi penentang liberal demokrasi Barat tetapi dia selalu menterjemahkan demokrasi bagi menyesuaikan dengan konteks politiknya.


``Saya yakin bahawa Dr. Mahathir bukan antidemokrasi, malah beliau menentang pemerintahan tentera dan sikap autoritarian.''


Leifer menyatakan ini apabila Dr. Mahathir menegur pemerintahan tentera pimpinan Jeneral Musharaf di Pakistan di hadapan jeneral itu sendiri ketika beliau melawat Malaysia pada Mac 2000.


International Herald Tribune dalam laporannya pada 29 Mac 2000 berkata, ``Presiden Clinton hanya memberikan kata-kata yang bersifat apologetik dibandingkan dengan Dr. Mahathir.''


Dr. Mahathir memberitahu Musharaf, ``Demokrasi walaupun terdapat beberapa kelemahannya tetapi tetap merupakan bentuk kerajaan yang terbaik.''


Dalam masa lebih 20 tahun di puncak kuasa, Dr. Mahathir telah banyak mengambil tindakan yang popular dan tidak popular, yang bersifat jangka panjang dan jangka pendek, yang terburu-buru dan juga yang bervisi.


Ada ketikanya beliau dilihat terburu-buru dalam tindakannya tetapi ada kalanya beliau dilihat mengambil masa yang amat lambat dan perlahan sehingga beliau terpaksa menanggung liabiliti yang tinggi, disalahmengertikan dan akhirnya terpaksa menghadapi mala petaka politik yang sangat besar.


Beliau memulakan tugasnya dengan tindakan popular membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seramai 21 orang pada 30 Julai 1981, mengemukakan slogan Bersih Cekap Amanah dalam pilihan raya 1984, tetapi popularitinya mulai tercabar apabila berlaku krisis ekonomi di pertengahan tahun 80-an yang mulai memperlihatkan serangan keras daripada media asing. Mereka membuat konklusi bahawa krisis ekonomi yang melanda Malaysia akan selesai jika Dr. Mahathir berhenti.


Beliau tergugat tetapi mantap sebagai Perdana Menteri selama lebih 20 tahun tetapi tiga Timbalan Perdana Menteri yang kelihatan gagah, bijak, Mr. Tactician, perancang licik, petah bercakap, popular, karismatik, the best actor dan sebagainya telah terguling.


Sekarang beliau mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri yang soft, lurus, bukan smart politician, tidak begitu bercita-cita tinggi, sederhana, warak, penyabar, disenangi oleh semua orang dan tidak ada rekod skandal. Ramai yang mengatakan dia baik tetapi lembut dan lemah tetapi secara diam, dia memperlihatkan diri sebagai seorang diplomat yang cekap, teknokrat yang bijak dan Menteri Dalam Negeri yang tegas dan berkesan.


Mungkin ini adalah orang yang secocok dengan pandangan Lee Kuan Yew, Menteri Kanan Singapura tentang pimpinan yang akan ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dalam interviunya dengan CNBC pada 13 Disember 1999.


Katanya, ``Tidak ada yang lebih penting bagi seorang pemimpin negara kecuali meninggalkan satu sistem, sebuah kerajaan, sebuah masyarakat dan para pemimpin yang dapat meneruskan kerja-kerjanya.''


Kepimpinan Dr. Mahathir selama 20 tahun telah menyerlahkan dirinya sebagai seorang nasionalis yang universal pemikiran tetapi Asianist sifatnya, bukan tradisionalis tetapi pragmatis, konsisten, bukan autoritarian atau diktator, tetapi liberal dan demokratik dalam konteks Asia.


Beliau bukan ideolog sebaliknya mengambil semua anasir yang baik daripada semua ideologi sebagai doktrin politiknya: Kapitalisme, sosialisme, sekularisme dan agama.


Beliau adalah seorang tokoh pembaharuan Islam yang tidak dapat bersabar melihat kejumudan, konservatisme dan orthodoxy dalam sikap orang Islam.


Pada konklusinya saya suka meminjam gambaran bekas Hakim Mahkamah Agung, Harun Hashim terhadap Dr. Mahathir dalam kolumnya Benchmark di New Straits Times pada 14 Januari 1999.


``Sama ada seseorang suka atau tidak suka Dr. Mahathir, mereka mestilah menerima hakikat bahawa dia adalah ahli politik yang terbijak dan bukti nyata bahawa politik adalah seni segala kemungkinan.''


Rencana ini pertama kali disiarkan oleh Utusan malaysia 9 September 2001

No comments:

Post a Comment