Isu Dr Mahathir-Pak Lah:Apa kata Datuk Kadir Sheikh Fadzir
Bekas Menteri Penerangan Datuk Kadir Sheikh Fadzir menilai isu kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah nampak macam krisis besar kerana kurang bijaksana pihak berkenan mengurus situasai.
Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar itu itu berkata perbezaan pendapat atau kritikan di kalangan pemimpin-pemimpin silam dan yang berkuasa adalah sesuatu perkara lumrah.
“Yang pentingnya kita perlu menguruskannya dengan bijaksana. Dalam hubungan ini pula jika kita menghina atau membenarkan sesiapa menghina pemimpin-pemimpin silam maka ianya adalah suatu petanda kita bermula kearah keruntuhan,”katanya seperti dalam point-point ucapannya di majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu Ahad yang diemail kepada Agendadaily Isnin.
Berikut ialah ucapannya yang mengulas isu berkenaan:
Persengketaan di antara bekas Presiden UMNO YAB Tun Dr. Mahathir dengan YAB Pak Lah adalah sesuatu yang sangat merugikan UMNO dan Negara. Semua kita harus rasa malu dan sedih mengenai keadaan ini.
Dalam hubungan ini masalah yang timbul adalah mengenai cara kita menguruskan situasi tersebut. Dalam hubungan ini kita harus mempelajari dari sejarah dan keadaan silam semasa Almarhum Bapa Malaysia, Tengku Abdul Rahman Putra dan Allahyarham Tun Hussein Onn masih hidup.
Pandangan yang berlainan serta teguran dan kritikan bekas pemimpin-pemimpin kita terhadap pemimipin-pemimpin yang menggantikan mereka bukanlah sesuatu yang aneh atau luarbiasa.
Almarhum Tengku pernah mengkritik pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak. Kritikan Tengku terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir pula sangatlah keras, pedih dan berlarutan. Malah ianya jauh lebih kesat dari kritikan Tun Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah sekarang ini.
Allahyarham Tun Hussein Onn juga tidak kurangnya mengkritik orang yang beliau memilih untuk mengganti beliau sebagai Perdana Menteri – iaitu Tun Dr. Mahathir.
Jelaslah dari keadaan-keadaan tersebut, maka apa yang jadi sekarang ini diantara Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah bukanlah sesuatu perkara yang luarbiasa. Tetapi yang menjadi persoalannya kenapakah dalam situasi Tengku dengan Tun Razak, Tengku dengan Tun Dr. Mahathir, situasi Tun Hussein Onn dengan Tun Dr. Mahathir – kritikan-kritikan serta teguran-teguran mereka yang juga kesat itu tidak diperbesar-besarkan sehingga menjadi suatu krisis. Kenapakah dalam kes Tun Dr. Mahathir dengan Pak Lah pula ianya telah diperbesar-besarkan dan dihebahkan ke seluruh Negara dan di kalangan masyarakat antarabangsa.
Jawapannya pada masa-masa dahulu mereka begitu bijaksana dalam menguruskan (manage) situasi tersebut. Media masa – akhbar, TV dan radio – juga begitu bijaksana dalam melaporkan kritikan-kritikan tersebut. Ianya dilaporkan hanya sebagai suatu pandangan yang berbeza dan tidak diperbesar-besarkan sehingga ianya ternampak sebagai suatu krisis.
Malangnya dalam situasi sekarang pula pertelingkahan pendapat Tun Dr. Mahathir dengan Pak Lah telah dihebahkan dan diperbesar-besarkan - hari demi hari, sehingga ianya menjadi suatu perbualan hangat bukan sahaja di kalangan rakyat Negara semua kaum, tetapi juga masyarakat dan media antarabangsa. Ini sangat merugikan UMNO dan Negara.
Lebih memalukan dari semuanya ini adalah apabila terdapat teguran dan tindakan terhadap pemimpin yang silam dan berumur ini digunakan istilah yang sangat pedih dan kesat dan tindakan yang menghinanya. Keadaan ini pula dibenarkan untuk dihebahkan secara meluas dan berpanjangan oleh media masa.
Kenapakah pada masa silam tidak siapa tergamak atau dibenarkan menghina pemimpin-pemimpin besar kita yang terdahulu. Kita begitu berpegang teguh dengan tradisi dan budaya UMNO, orang Melayu dan orang Islam untuk menghormati pemimpin-pemimpin silam dan pemimpin-pemimpin yang berumur.
Perbezaan pendapat atau kritikan di kalangan pemimpin-pemimpin silam dan yang berkuasa adalah sesuatu perkara lumrah. Yang pentingnya kita perlu menguruskannya dengan bijaksana. Dalam hubungan ini pula jika kita menghina atau membenarkan sesiapa menghina pemimpin-pemimpin silam maka ianya adalah suatu petanda kita bermula kearah keruntuhan.
No comments:
Post a Comment