Wednesday, October 31, 2007

Kampung Desa Aman


Kita sering mengutuk tindakan PDRM menembak mati individu yang disyaki sebagai penjenayah berbahaya bila mana individu yang disyaki, masih boleh ditangkap dan tidak memerlukan tindakan menembak mati. Mengkritik PDRM bukan bermakna kita menganggap polis sebagai musuh rakyat tetapi teguran kita adalah berasas terutamanya apabila individu dari kaum tertentu menjadi sasaran tembak mati. Tetapi pada masa yang sama, kita juga harus mengutuk sebarang tindakan ganas yang menyebabkan anggota polis, cedera atau terbunuh.

Apa yang berlaku di Kg.Desa Aman, Sungai Buloh adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan bilamana, serbuan yang sepatutnya "berjaya" tetapi gagal dan telah menyebabkan dua anggota lans-corporal terbunuh dan dua orang chief-inspector dalam keadaan kritikal.

PDRM sepatunya memastikan setiap individu yang menyertai pasukan keselamatan tersebut dilengkapi dengan baju kalis peluru dan sentiasa menggunakannya semasa bertugas di luar pejabat. Tetapi malangnya PDRM masih tidak mempunyai kuantiti baju yang secukupnya dan hanya mampu membuat pembelian sebanyak 2000 baju sahaja bagi tahun ini manakala tambahan 2000 lagi akan diperolehi tahun depan.

Doi-Moi percaya antara kelemahan yang menyebabkan kebanyakan jenayah berat tidak dapat diselesaikan adalah kerana kegagalan unit perisikan PDRM mengumpul maklumat yang secukupnya sebelum sesuatu kejadian itu berlaku. Dikala kita masih terkejut dengan kematian Nurin di susuli dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang telah mengedarkan gambar Nurin dalam beg, kita terus dikejutkan dalam tempoh masa 48 jam seramai 8 kakitangan telah menjadi mangsa keganasan di mana dua orang daripadanya telah terbunuh manakala dua lagi cedera parah/cedera.

Doi-Moi amat yakin sekiranya PDRM dapat memantapkan unit perisikannya maka kebanyakan kes jenayah dapat diselesaikan. Selain itu, unit Perhubungan Awam PDRM juga perlu dikikis kemahiran dalam "Perhubungan Awam" di mana dalam kes Kg.Aman amat jelas akan kegagalan unit tersebut memainkan peranan dalam membekalkan maklumat yang sahih kepada pihak media. Berlaku terlalu banyak kontradiksi yang bercanggah antara laporan berita media elektronik dan media cetak. Doi-Moi sangat berharap kegagalan serbuan seperti ini tidak akan berlaku lagi, semoga rakyat termasuk anggota polis dapat hidup dalam keadaan yang aman.

No comments:

Post a Comment