Saturday, April 21, 2007

Calon atau Dasar: Yang Mana Lebih Penting?

Setiap kali pilihanraya kecil, ternyata ramai yang kecewa terutama pemimpin-pemimpin kecil dari parti-parti yang pada dasarnya tidak mementingkan prinsip-prinsip demokrasi dan dipimpin oleh pemimpin yang angkuh dan bersifat autokratik seperti Samy Vellu. Malah pemimpin-pemimpin kecil dari parti-parti serpihan juga jelas kecewa kerana parti-parti yang menjadi pedoman kepada mereka gagal mengisi calon dari bangsa masing-masing. Pelbagai alasan digunakan sebagai bantal untuk mengimbangkan kekecewaan mereka.

Di waktu pagi, kumpulan-kumpulan ini menangis dan merayu untuk menolak politik perkauman tetapi di waktu malam mereka sendiri mengamalkan sikap perkauman umpama cakap tidak serupa bikin. Dalam konteks politik Ijok, ramai pemimpin kecil kecewa kerana Keadilan tidak meletakkan calon dari masyarakat India bagi bertanding menentang calon MIC. Pelbagai justifikasi dan tohmahan dilontarkan tetapi marilah kita berfikir sejenak, yang mana lebih penting Dasar atau Calon?

Apa gunanya kita ada calon dari bangsa sendiri kalau dasar yang diamalkan oleh parti yang membentuk Kerajaan masih bersikap tidak adil kepada masyarakat yang mempunyai kewarganegaraan yang sama? Apa yang hendak dibanggakan sangat kalau anak bangsa hidup ala sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walaupun ada berpuluh wakil dalam kerajaan dari satu bangsa?

Dalam konteks masyarakat “India Malaysia” apa gunanya ada Samy Vellu kalau masyarakat tersebut masih hidup serba kemiskinan? 50 tahun Negara telah merdeka tetapi apakah masyarakat India telah merdeka daripada kemiskinan dan diskriminasi sosial dan politik? Di kala parti-parti lain sedang mengorak langkah untuk memperkasakan perjuangan parti dan bangsa apa pulak yang sedang berlaku kepada MIC? Semakin lama ia semakin dikuasai oleh individu yang menggunakan kedudukan dalam parti untuk mengayakan diri sendiri dan penggunaan kaki samseng semakin ketara dalam parti. Jadi apa yang hendak dibanggakan sangat samada calon itu dari bangsa sendiri atau tidak? Bukankah lebih baik kita berfikiran waras dan meneliti apa yang boleh dilaksanakan oleh calon itu berdasarkan dasar-dasar parti yang diperjuangkan oleh seseorang calon? Dalam BN, dasar siapa yang digunakan? Dasar UMNO atau Dasar BN? Bukankah semasa pilihanraya Dasar BN digunakan tetapi selepas pilihanraya dasar UMNO yang diimplementasikan.

Pilihanraya kecil tidak akan mengubah tampuk pemerintahan kerajaan negeri, tetapi adalah satu peluang untuk menilai sumbangan calon dan parti yang memerintah samada telah berjaya untuk melaksanakan janji-janji pilihanraya umum. Kalau benar janji telah dilaksanakan atau dalam pelaksanaan maka tidak perlulah parti yang memerintah menggunakan wang rakyat dalam jumlah yang bernilai berjuta-juta ringgit untuk melaksanakan projek. Dalam konteks pilihanraya Ijok apa asas kerajaan untuk melaksanakan projek bernilai RM36 juta dalam tempoh masa 2 minggu? Apakah proses perolehan telah dipraktikkan di sini atau syarikat-syarikat kroni digunakan untuk melaksanakan projek di samping mendapat komisyen daripada nilai berjuta ringgit tersebut? Bukankah ini merupakan satu cubaan untuk memperbodohkan pengundi, kononnya peruntukan itu telah diluluskan? Kalau lama dah diluluskan kenapa nak tunggu Yang Berhormat berkaitan meninggal dunia? Faktanya, parti yang memerintah terpaksa membelanjakan duit yang berjuta nilainya kerana mendiang Datuk K.Sivalingam telah gagal untuk melaksanakan janji.

Masyarakat India telah ditekan dari pelbagai sudut baik kebebasan beragama, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya malah hari ini sedang berdepan dengan ancaman daripada wakil rakyat bangsa sendiri yang berupa ugutan dan penindasan. Apakah yang hendak dibanggakan sangat, kononnya calon dari bangsa sendiri tetapi sebenarnya kita hidup dalam keperitan manakala calon yang kita banggakan hidup mewah hasil dari undi kita.

Dasar dan pengimplementasian itu lebih penting untuk dinilai daripada kecewa kerana calon dari bangsa lain. Dalam konteks politik Malaysia parti yang memerintah sebenarnya hanya memberikan dasar yang cantik atas kertas tetapi gagal dalam pengimplementasian dan kehidupan masyarakat “India Malaysia” semakin tertekan akibat kegagalan itu. Jadi apa salahnya kalau kita memilih calon dari bangsa lain sekurang-kurangnya parti yang memerintah akan tahu bahawa masyarakat “India Malaysia” bukanlah tiada akal untuk diperbodohkan dalam pilihanraya. Sekurang-kurangnya satu mesej yang jelas dapat dihantar kepada individu yang memanggil dirinya sebagai wakil masyarakat India.

Mengundi calon dari parti atau bangsa yang berlainan bukanlah satu pengkhianatan kepada bangsa sendiri tetapi adalah satu mesej yang jelas kepada parti pemerintah “jangan abaikan masyarakat India Malaysia”.

No comments:

Post a Comment