Thursday, October 05, 2006

Perkiraan politik Pandithan
Oleh G. MANIMARAN (WARTAWAN UTUSAN)


BEBERAPA kenyataan yang dikeluarkan dalam masa enam bulan pertama sejak memulakan kempen mogok lapar dan selepas dipecat daripada MIC menunjukkan Datuk M.G. Pandithan sememangnya sangat yakin akan kekal atau kembali diterima oleh parti tersebut.

Salah satu kenyataan yang menarik, “saya telah dimasukkan ke dalam keranda berkunci oleh Samy Vellu, tetapi saya akan bangun menjadi drakula dan memasukkannya (Samy Vellu) pula ke dalam keranda.”

Satu lagi kenyataan berbunyi berikut: “Jiwa saya bersama MIC.Perjuangan saya belum berakhir. Saya akan kembali memegang jawatan yang lebih tinggi dalam MIC dan dalam Kabinet”. Itu dua kenyataan selepas dipecat dari MIC. Satu kenyataan yang lebih melucukan: “Saya cium beliau (Samy Vellu) kerana beliau seorang pemimpin kagum.”

Kenyataan ini dikeluarkan ketika beliau ‘berjaya’ menemui Samy Vellu selepas surat tindakan disiplin dikeluarkan oleh MIC.

Bagaimanapun Samy Vellu menafikannya ‘situasi’ sedemikian. Kata Samy Vellu, tiada ciuman dan kalau hendak berbuat demikian biarlah Pandithan.

Dalam tempoh 18 tahun yang lalu, Pandithan dilaporkan pernah menemui secara bersemuka dengan Samy Vellu dua kali.

Kali pertama ketika kempen pilihan raya kecil kawasan Parlimen Telok Kemang pada tahun 2000. Kemudian baru-baru ini Samy Vellu mengunjungi Pandithan di hospital ketika menerima rawatan.

Pandithan merupakan antara Naib Presiden yang termuda dalam MIC. Beliau dipilih ke jawatan itu buat kali pertama pada 1981 selepas diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Pengerusi MIC Cawangan Loke Yew-San Peng, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun krisis dengan kepimpinan tertinggi, khususnya Samy Vellu bermula pada tahun 1987 apabila Pandithan dipilih mengekalkan kedudukannya bersama dua calon lain yang melawan pasukan yang direstui Samy Vellu. Pandithan bersama Datuk K. Pathmanaban (mendiang) dan Datuk S.S. Subramaniam menewaskan Tan Sri M. Mahalingam, Tan Sri G. Pasamanickam dan Datuk M. Muthupalaniyappan yang mendapat sokongan kuat Samy Vellu.

Subramaniam dan Pathmanaban memperlihatkan sokongan terbuka kepada Pandithan termasuk tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat yang menolak rayuan Pandithan, yang membawa kepada penutupan pintu buat kekal sehingga hari ini.

Selama enam bulan pertama Pandithan masih yakin bahawa beliau akan dimaafkan dan diterima kembali ke pangkuan Samy Vellu. Tindakan susulan ialah pemecatan Pandithan daripada Kabinet.

Beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Selepas Pandithan dikeluarkan pergeseran politik dalaman MIC berterusan juga. Pada tahun 1989, kesan pemecatan dilihat dalam cabaran sengit jawatan Presiden membabitkan Samy Vellu dan Subramaniam.

Subramaniam tewas tipis dan banyak cawangan MIC berhadapan dengan nasib ditutup dan dibatalkan pendaftaran.

Subramaniam, orang terakhir dalam barisan pemimpin yang mencabar Samy Vellu, tewas dalam usaha mengekalkan kedudukannya pada pemilihan Jun lalu.

Kedua-dua Subramaniam dan Pathmanaban digugurkan daripada bertanding pilihan raya umum 1990.

Peringkat kedua penglibatan politik Pandithan bermula dengan penubuhan parti politik sendiri – Barisan Progresif India (IPF) pada tahun 1990 dan bertanding dalam pilihan raya di bawah Gagasan Rakyat sebagai parti perikatan pembangkang. Usaha mengekalkan kerusinya di Teluk Intan tidak berjaya.

Selepas empat tahun bersama pembangkang, Pandithan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus memulakan era ketiga kerjaya politik. Tetapi parti itu tidak dibubarkan sebagaimana dilakukan oleh Parti Melayu Semangat 46 (S46), sebaliknya meneruskan matlamat mahu menjadi komponen BN. Pandithan masih meletakkan harapan bahawa ia akan menjadi kenyataan meskipun usaha itu sudah dimulakan 12 tahun yang lalu.

Sebagai penghargaan kepada sokongan IPF kepada BN, Pandithan dilantik sebagai Senator pada September 1995. Pandithan dijadual merasmikan bangunan Ibu Pejabat IPF yang terletak di Serdang (berhampiran Plaza Tol Sungai Besi) pada 15 Oktober ini.

Ketika ditanya Setiausaha Agungnya, V. Senggutuan sebab yang membawa kepada Pandithan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Samy Vellu dan MIC pada Ahad lalu, beliau berkata, Pandithan tiada niat lain melainkan ingin melihat masyarakat kekal bersatu.

“Pandithan selalu menekankan perkara ini. Beliau mengharapkan ini selama ini dan ingin melihat ia menjadi kenyataan, tetapi mahu kekalkan IPF. Biar permusuhan berakhir ketika masih memimpin IPF,” katanya, berkelulusan universiti atas sokongan IPF, merupakan Setiausaha Agung sejak lima tahun lalu.

Beliau amat mengharapkan impian untuk menyertai BN akan menjadi kenyataan supaya perjuangan untuk masyarakat India menerusi IPF akan menjadi kenyataan kelak.

Pandithan masih dilihat sebagai ikon oleh ahli-ahli IPF. Mereka taksub dengan kepimpinannya. Pandithan berjaya ‘mengawal’ dan menyemai disiplin di kalangan mereka. Antaranya terbukti apabila beliau dihadiahkan kereta Mercedes Benz 230E sempena ulang tahun kelahirannya pada 2000. Beliau juga pernah diberikan cincin oleh ahli-ahlinya sebagai hadiah hari jadi.

Antara isu yang membawa kepada tindakan disiplin termasuklah dakwaan bahawa beliau menyemai sentimen memecahbelahkan perpaduan parti selain mengamalkan politik berkasta dalam MIC. Punca untuk pemecatan beliau diperkuatkan oleh isu membawa keranda ketika mengadakan mogok lapar di Ibu Pejabat MIC selama 28 jam mulai 8 Jun 1988.

Kepimpinan MIC melihat tindakan itu sebagai memalukan imej parti di kaca mata masyarakat negara ini. Tahun 1988 diisytiharkan oleh MIC sebagai Tahun Disiplin dengan memulakan operasi mencantas mereka yang mengganggu-gugat keutuhan dan keharmonian dalam MIC.

Pandithan sememangnya mendapat sokongan kuat di kalangan masyarakat berpendapatan rendah dalam MIC. Pada awal 1980-an beliau sudah dikatakan mampu menarik golongan muda menerusi keupayaan bersyarahan dalam bahasa Tamil. Pandithan antara pemimpin MIC muda yang fasih memberikan syarahan politik ketika itu dan aktif mendekati masyarakat bawahan.

Tahap aktif keterlaluan juga menjadi senjata kepada kejatuhan Pandithan ketika itu? Kejatuhan Pandithan disusuli dengan seorang pemimpin yang karismatik ketika itu, D.P. Vijandran yang pernah menjadi Setiausaha Agung ketika pemecatan Pandithan dan kemudian dipilih sebagai Naib Presiden MIC.

Seorang pengerusi cawangan semasa yang pernah rapat dengan Pandithan berpendapat bahawa Pandithan ‘digulingkan’ secara tersusun oleh kedua-dua puak yang wujud dalam MIC ketika itu. Satu puak mengambil tindakan terbuka manakala yang satu lagi puak memberikan sokongan moral dengan harapan pengaruh Pandithan dalam MIC akan terhakis dengan sendiri.

Beliau meskipun merupakan penyokong kepimpinan tertinggi MIC semasa mengakui bahawa Pandithan kemungkinan merupakan timbalan kepada Samy Vellu jika terus kekal dalam parti.

“Kumpulan pendesak ini menjadi punca seratus peratus kejatuhan Pandithan dan 50 peratus kejatuhan Vijandran,” kata pengerusi cawangan ini.

Ia turut diakui oleh Senggutuan yang berpendapat Pandithan jika pun tidak melawan arus kepimpinan Samy Vellu, beliau tetap telah disingkirkan.

“Cuma penyingkiran dan pemecatan telah berlaku dengan cepat. Pandithan bukan pemimpin biasa yang mengikut semua yang dikatakan oleh pemimpin kanan, sebaliknya sanggup mengkritik jika ada yang tidak kena dengan pengurusan,” katanya.

Sepanjang tiga dekad lalu dua parti serpihan MIC ditubuhkan apabila pemimpin kanannya dipecat. Satu lagi dalam proses pendaftaran. Setakat ini IPF yang mampu memberikan saingan kepada MIC.

Masalah kesihatan kini mengganggu kelancaran pergerakan Pandithan dalam politik, untuk bertemu dengan ahli-ahlinya sejak tiga bulan yang lalu.

Ramai yang pasti, termasuk Pandithan juga yakin bahawa tidak akan kembali ke MIC. Beliau membenarkan ahli-ahlinya jika ingin berbuat demikian, tetapi bukan dirinya sebagaimana ditekankan sejak dulu lagi. Pandithan yang berusia 66 tahun sudah pasti ingin kekal sebagai Pandithan sebagai IPF.

Jika Pandithan berhadapan dengan ranjau politik dalam MIC, ‘pemberontakan’ juga pernah dialaminya dalam IPF, tetapi tidak seburuk pengalaman beliau dalam MIC.

Dalam dunia politik tempatan, Pandithan sudah pun sinonim dengan peristiwa membawa keranda dan istilah ‘drakula’ yang pernah digunakannya. Pandithan sendiri tidak pasti ke mana perginya keranda itu. Tetapi kalangan ahli-ahli MIC mendakwa ia telah dibuang ke sungai berhampiran bangunan MIC. Ia tetap misteri.

Mampukah Pandithan menambah warna perjalanan politik selepas ini? Sekurang-kurangnya kenyataan terbuka untuk berbaik dengan Samy Vellu kini meletakkan Pandithan di satu tahap yang lebih tinggi. Ini diakui oleh ahli-ahli MIC dan juga IPF malah masyarakat pada umumnya.

source: Utusan Malaysia 05102006

No comments:

Post a Comment